Mangsa Banjir Di Pekan Terima Mesin Penapis Air

KUALA LUMPUR – Sebagai langkah prihatin bagi memastikan mangsa banjir terus menerima bekalan air yang terjamin bersih, sebuah mesin penapis air menggunakan teknologi membran ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Temai di daerah Pekan, Pahang.

Ketua Pemuda UMNO Pahang Mohd Shahar Abdullah berkata mesin penapis air itu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara kawasan terbabit mempunyai kapasiti menapis dan membersihkan air untuk 1,000 pengguna dalam satu masa.

“Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat di antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kementerian Pengajian Tinggi yang mana Pergerakan Pemuda UMNO Pahang bertindak sebagai penyelaras program. Mesin itu dipinjamkan oleh UTM bermula semalam (16 Jan) untuk kegunaan sepanjang musim banjir ini.

“Walaupun sekolah tersebut mempunyai sistem air paip namun kita hendak pastikan keselamatan dan kesihatan mangsa banjir sentiasa terjamin sepanjang berada di pusat pemindahan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Shahar berkata Pergerakan Pemuda UMNO Pahang juga telah melaksanakan operasi pasca banjir di semua daerah terjejas banjir di Pahang, baru-baru ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.