Pelajar Maut Motosikal Terbabas

MIRI: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggang gagal dikawal lalu terbabas di Jalan Ladang Niah 3 Niah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sawit 4, pagi tadi.

Tatrician Darrell Mendan Deli, 17, dari Taman Desa Senadin, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata nahas berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Miri ke Bintulu.

“Apabila tiba di kawasan berhampiran SK Ladang Sawit 4, motosikal itu dipercayai terbabas dan mangsa terjatuh atas jalan raya, berikutan tiada kesan perlanggaran,” katanya di sini, hari ini.

Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke rumah Hospital Miri untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.