Peneroka FELDA Dapat Insentif RM43.2 Juta

KUALA LUMPUR – Seramai 92,059 peneroka menerima durian runtuh apabila menerima pemberian bonus insentif berjumlah RM43.2 juta.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pemberian insentif bagi 2017 itu sebagai menghargai usaha peneroka dan menggalakkan mereka terus meningkatkan produktiviti kebun bersama Felda.

“Bagi peneroka yang berjaya memaksimumkan pengeluaran hasil kebun, mereka sewajarnya diberi galakan.

“Namun, bagi peneroka yang tidak menghantar hasil melalui pe-ngurusan rancangan, maka individu berkenaan gagal memenuhi kriteria kedua iaitu terus bersama Felda,” katanya pada majlis penyerahan insentif bonus, semalam.

Beliau berkata, tindakan sedemikian menyebabkan beberapa potongan seperti BK, pinjaman pembesaran rumah, caruman tanam semula, caruman pemulihan ladang dan beberapa kutipan untuk operasi pengeluaran kebun seperti baja, jalan pertanian dan lain-lain tidak dapat dikutip.

“Peneroka yang menanam semula dengan Felda layak diberi pertimbangan bonus insentif walaupun kebun belum berhasil kerana mereka memenuhi kriteria,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohd Shariff berkata, insentif itu melonjak semangat peneroka meningkatkan hasil pengeluaran setiap tahun.

“Insentif ini sebagai galakan hantar hasil sawit kepada kilang Felda. Ia juga sekurang- kurangnya dapat mengurangkan beban kos sara hidup peneroka,” katanya yang mewakili Felda Wilayah Trolak.

Setiausaha JKKR Gabungan Felda Wilayah Johor Bahru, Ab Aziz A Bakar pula berkata, insentif diberikan sebagai satu bonus dan akan dijadikan simpanan masa depan. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.