Polis Ambil Keterangan Saksi Kes ‘Kerusi Melayang’

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan 31 individu berhubung kejadian seorang remaja maut ditimpa kerusi pejabat yang dicampak dari tingkat atas Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Pantai Dalam, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata mereka membabitkan saksi dan penghuni di PPR berkenaan.

Katanya, Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Polis Kuala Lumpur sudah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kerusi yang dicampak itu dan daripada 31 saksi terbabit bagi tujuan analisis.

“Belum ada tangkapan dibuat dan kes diklasifikasikan semula daripada 304A kerana mendatangkan kematian secara cuai kepada 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti supaya menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan kes.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Firdaus Sharil di talian 012-3388164 atau 03-90516222 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Brickfields, Deputi Superintendan Tonny Lunggan di talian 014-6225262.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam kelmarin, S Sathiwaran,15, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, maut akibat dihempap sebuah kerusi yang dicampak dari tingkat atas Blok 102 PPR Sri Pantai.

Ketika kejadian, mangsa berjalan bersama ibunya, M S Kasthuribai, 45, untuk pulang ke rumah mereka di tingkat 16 blok terbabit.

Sebelum kejadian, anak bongsu dua beradik itu mengunjungi kedai runcit di bawah blok berkenaan sebelum kepalanya terkena sebuah kerusi pejabat yang dicampak dari atas sebaik mangsa menghampiri ruang tertutup berhampiran tangga.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tetapi Mazlan memaklumkan laporan bedah siasat belum diterima. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.