Tiada Cubaan Culik Pelajar Sekolah Di Ipoh

IPOH – Tiada sebarang kejadian cubaan menculik lima pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, di sini, Jumaat lepas, sebagaimana yang tular di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh pihak pengurusan sekolah berkenaan, semalam.

Beliau mengesahkan tidak berlaku sebarang elemen penculikan seperti apa yang ditularkan.

“Polis menafikan dakwaan seperti yang ditularkan. Ada laporan diterima tapi bukan itu isinya. Laporan diterima pada 16 Januari yang dibuat oleh pihak sekolah dan ia masih dalam siasatan pihak kami,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular kenyataan kononnya terdapat sekumpulan lelaki yang menaiki van berwarna putih cuba menculik lima orang murid sekolah berkenaan di hadapan pagar sekolah kira-kira pukul 4 petang, Jumaat lepas, tetapi keberanian pelajar terlibat melawan penculik telah menggagalkan cubaan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.