Adik Beradik Hilang Ditemui Selamat

GOMBAK: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang bersama adik lelaki berusia tiga tahun ketika ke kedai di Taman Setia Batu 16 Rawang di sini semalam, sudah dijumpai.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata Nur Syafikah Zaki, 15, dan adik lelakinya, Aiman Daniel Zaki ditemui oleh orang awam kira-kira pada jam 6.45 petang tadi.

“Kedua-dua remaja dan adiknya yang dilaporkan hilang sudah ditemui petang tadi.

“Mereka ditemui ketika sedang bermain hujan di Kampung Sungai Penchala oleh orang awam.

“Selepas menghubungi bapa mereka, mereka kemudian dihantar ke Balai Polis Rawang oleh orang yang menjumpai mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Ali berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca dan cerita sebenar di sebalik kehilangan mereka.

Katanya, kedua-dua adik beradik itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Nur Syafikah bersama adik keempatnya, Aiman Daniel tidak kembali ke rumah selepas ibu mereka menyuruh membeli susu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Susulan kehilangan dua beradik itu, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Rawang pada jam 10.30 malam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.