Kerja Roboh Pondok Tol Akan Disegerakan

SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya akan menyegerakan kerja merobohkan plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerja itu dilakukan susulan pengumuman kerajaan memansuhkan kutipan tol di dua plaza berkenaan bermula 1 Januari lalu.

Pihak pengendali lebuh raya terbabit, PLUS juga sudah pun mengeluarkan tender kepada kontraktor bagi menguruskan kerja merobohkan pondok tol.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berbual dengan pekerja yang menghuni di pusat penempatan pekerja selepas Majlis Perasmian Pusat Penempatan Pekerja Binaan yang disediakan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) di CLAB Centralised Labour Quarters V1, Seksyen U4 Shah Alam. – Foto Roslin Mat Tahirs

“Memang kita akan robohkan (binaan plaza tol) selepas dua tol itu dimansuhkan. Kita harap kerja-kerja ini dapat disegerakan.

“Memang kita akui plaza tol yang sedia ada ketika ini adakalanya menghalang kelancaran lalu lintas dan menjejaskan keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Penempatan Pekerja (CLAB) CLQ V di sin, hari ini.

Sejak dua tol itu dimansuhkan awal bulan ini, orang ramai masih perlu menempuh lorong-lorong tol terbabit, malah ada dalam kalangan pengguna terutama yang datang dari luar Lembah Klang sering terkeliru dengan kewujudan lorong tol berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof melihat bilik pekerja dan kemudahan lain yang disediakan di pusat penempatan pekerja selepas Majlis Perasmian Pusat Penempatan Pekerja Binaan yang disediakan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) di CLAB Centralised Labour Quarters V1, Seksyen U4 Shah Alam. Turut hadir Pengerusi,. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya merangkap Pengerusi Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) Datuk Seri Zahori Akob (kanan). – Foto Roslin Mat Tahirs

Keadaan ini menyebabkan kelancaran aliran trafik di sana sedikit terganggu terutama ketika waktu puncak iaitu sekitar jam 7 pagi hingga 10 pagi serta jam 4.30 petang hingga 7 malam.

Kelmarin, media melaporkan pengguna Lebuhraya Persekutuan menuntut supaya plaza tol terbabit dirobohkan secepat mungkin kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Selain mahukan kelancaran trafik, permintaan pengguna juga susulan kemalangan di Plaza Tol Batu Tiga pada Selasa lalu, yang meragut nyawa dua sahabat selepas melalui pondok tol berkenaan.

Dalam kemalangan jam 6.36 pagi, Muhammad Azki Dahlan Jamit, 21, dan Norsya’Baniah Norhisham, 20, maut apabila kereta jenis Perodua Kancil yang mereka naiki hilang kawalan lalu merempuh tembok pondok tol berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.