Paip Lama Jejas Lima Negeri

SERI KEMBANGAN: Lima negeri membabitkan Kedah, Johor, Selangor, Melaka dan Perlis dikenal pasti berdepan masalah kekurangan bekalan air berikutan keadaan paip lama yang perlu diperbaiki.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan berusaha mencari sumber air baharu dan alternatif bagi mengatasi masalah terbabit.

“Banyak paip yang dipasang di negara ini sudah melebihi 50 tahun dan mulai bocor serta perlu diganti kerana jangka hayat paip lazimnya mencecah 20 tahun.

“Kebocoran paip dianggar 45 peratus daripada jumlah air tidak digunakan oleh industri dan domestik yang diserap kembali ke bumi,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melihat bahan pencemar dalam sampel air di Makmal Kualiti Air ketika beliau mengadakan lawatan kerja di Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) hari ini. – Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Dr Suhaimim Mamat.

Wan Junaidi berkata, setiap rakyat negara ini menggunakan purata 230 liter air sehari.

Katanya, jumlah itu jauh lebih tinggi dibanding dengan Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat iaitu masing-masing 150 liter seorang setiap hari.

“Masyarakat perlu membataskan penggunaan air bersih dengan menggantikan tadahan hujan untuk aktiviti sampingan seperti mencuci dan menyiram pokok.

“Langkah itu dapat menjimatkan jutaan gelen air bersih dalam kegunaan harian,” katanya. – BERITA HARIAN

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) melihat pokok teratai Tasik Chini yang ditanam di Green House ketika lawatan kerja di Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia. – Foto Hafiz Sohaimi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.