Polis Marin: Tahap Keselamatan Empangan Bakun Dipertingkat

KUCHING – Tahap keselamatan di sekitar empangan Bakun di kawasan pedalaman bahagian tengah Sarawak ditingkatkan lagi dengan penugasan sepasukan Polis Marin di sekitar empangan itu mulai tahun ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak ACP Salehuddin Mat Zaman berkata pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota telah dihantar bertugas di kawasan itu mulai bulan ini, sebelum diganti dengan pasukan baharu, supaya kawasan tersebut sentiasa dipantau secara bergilir oleh PPM.

Beliau berkata kehadiran PPM akan memantapkan lagi aspek kawalan keselamatan di empangan itu yang ketika ini dikendalikan pasukan polis bantuan.

“Aspek keselamatan tidak boleh diambil mudah di kawasan yang menempatkan aset penting negara itu, tahap keselamatannya perlu sentiasa ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis marin Wilayah Lima di ibu pejabat pasukan itu di sini hari ini.

Katanya PPM akan membantu dalam aspek meronda dan memantau sekitar kawasan empangan yang sukar diakses menerusi jalan darat. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.