Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM Bawa Perubahan

MELAKA – Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2017-2050 yang dilancarkan Kementerian Pertahanan hari ini bakal membawa satu perubahan besar kepada sistem penyampaian dan perkhidmatan kesihatan negara setaraf dengan mutu antarabangsa pada masa akan datang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pelan jangka masa panjang itu dilihat bakal memperkukuh kerjasama antara kedua-dua kementerian sekali gus mewujudkan lebih banyak bidang pengkhususan seperti ‘diving medicine’ dan ‘aviation medicine’ yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pertahanan kerana melancarkan pelan transformasi dalam bidang kesihatan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga ATM yang sedang bertugas tetapi juga kepada warga veteran dan ia merupakan usaha yang baik untuk meningkatkan taraf penyampaian kesihatan negara.

“Kita percaya kerjasama ini dapat memastikan kebajikan dan keperluan warga ATM tidak terbiar dan mereka akan diberi layanan yang selaras dengan keperluan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pelan transformasi berkenaan di 94 Hospital Angkatan Tentera Terendak di sini, hari ini.

Pelancaran Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM 2017-2050 oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.