Warga Emas Maut Langgar Tembok Rumah

MANJUNG: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta KIA Spectra dipandunya melanggar tembok batu rumah di Taman Seri Sentosa, Ayer Tawar, di sini malam tadi.

Dalam nahas jam 10 malam, mangsa dikenali sebagai Wong Sam, 75, parah dan meninggal dunia di lokasi itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata kemalangan dipercayai berpunca kereta dipandu mangsa terbabas.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dari arah pekan Ayer Tawar dan dipercayai mahu pulang ke rumahnya.

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Manjung. – Foto ihsan Bomba

“Apabila tiba di lokasi kejadian dipercayai kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar tembok batu rumah.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar ke lokasi selepas menerima panggilan.

“Operasi menyelamat tamat jam 10.10 malam selepas mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.