‘Apa Bukti Saya Orang Ketiga?’

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nonny Nadirah tidak pernah sesekali mengejar kemewahan hidup, sebaliknya hanya mengimpikan dipertemukan dengan jejaka yang mampu membimbingnya ke arah lebih baik.

Justeru, apabila namanya dikaitkan sebagai orang ketiga yang cuba hadir dalam rumah tangga pasangan Adira Suhaimi dan Datuk Seri Adnan Abu, sedikit masa lalu, Nonny atau nama sebenarnya, Nonny Nadirah Zainuddin, 29, begitu terkilan.

Nonny terpaksa berdiam diri demi menjaga persahabatan dengan penyanyi itu. Namun, hatinya sendiri terluka apabila impak kontroversi itu turut dirasai beberapa pihak lain.

“Apa bukti saya menjadi orang ketiga hingga dikatakan bersetuju untuk berkahwin dengan suami Adira?

Sebelum ini, saya terpaksa berdiam diri kerana ingin menjaga persahabatan dengan Adira. Dakwaan itu tidak berasas dan memberi impak kepada banyak pihak.

“Saya tidak mengejar harta dan wang, sebaliknya ingin mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang dapat membimbing. Saya sudah menjelaskan kedudukan sebenar kepada teman lelaki kerana tidak mahu timbul salah faham.

“Isu itu bukan saja mengganggu teman lelaki, sebaliknya bakal ibu mentua turut terkena tempiasnya,” kata Nonny.

Ditemui pada acara Media Prima Screening 2018, di sini, semalam, bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim kelima itu turut memaklumkan akan mengumumkan berita gembira pada bulan depan.

Selepas sembilan tahun menjalin hubungan cinta dengan jejaka yang masih dirahsiakan identitinya, Nonny yang popular menerusi drama Istikharah Cinta sudah bersedia membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.

“Insya-Allah, saya yakin dia pilihan terbaik buat saya. Ketika ini, saya belum bersedia untuk terlalu menggembar-gemburkan berita gembira itu. Takut tidak jadi pula nanti. Doakan yang terbaik buat saya,” kata Nonny. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.