Israel Mohon Maaf, Janji Ambil Tindakan Undang-undang

AMMAN: Israel memohon maaf secara rasmi kepada Jordan di atas kematian dua warganya yang dibunuh pengawal keselamatan Zionis Julai lalu, insiden yang mengeruhkan hubungan kedua-dua pihak.

Ia turut membawa kepada penutupan kedutaan Israel di Amman, lapor media.

Jurucakap kerajaan, Mohammad al Momani, dipetik agensi berita Petra sebagai berkata, Kementerian Luar Israel menghantar memorandum ‘menyatakan kekesalan mendalam dan memohon maaf’ berhubung kejadian itu dan berjanji mengambil tindakan undang-undang.

Jordan berkata, ia tidak akan membenarkan Israel membuka kedutaannya di Amman sehingga ia melancarkan prosiding undang-undang terhadap pengawal keselamatan terbabit.

Pejabat Perdana Menteri Israel semalam berkata, kedutaan di Amman akan menyambung operasi segera.

Cara pengendalian kes berkenaan menguji hubungan kedua-dua negara, satu daripada dua negara Arab yang mempunyai perjanjian damai dengan rejim Zionis itu.

Kedutaan Israel ditutup sejurus selepas Israel segera membebaskan pengawal berkenaan menggunakan imuniti diplomatik untuk menghalang Jordan menyiasat beliau dan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Jordan menegaskan walaupun pengawal itu mempunyai imuniti diplomatik, tidak bermakna dia tidak boleh dihukum.

Kini, Israel berjanji mengambil tindakan undang-undang dalam kes itu dan juga bertindak dalam kes tembakan hakim Jordan oleh tentera Israel pada 2014. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.