PRU14 Perlukan Kesiapsiagaan Yang Tinggi

SEREMBAN – Ketua Polis negeri, DCP Datuk Noor Azam Jamaludin mengingatkan semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam Pilihan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu mendalami Prosidur Operasi Standard (SOP), undang-undang berkaitan dan sentiasa profesional dalam menghadapi sebarang situasi dan cabaran yang bakal dihadapi.

Katanya bagi mereka yang terlibat dengan penugasan pilihan raya ini, beliau menyarankan sentiasa meletakkan asas penugasan polis untuk bertindak tanpa menyebelahi mana-mana pihak pada sepanjang masa, kerana ia penting sebagai tonggak integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam memastikan PRU14 berjalan dengan lancar, kesiapsiagaan dan keperluan logistik serta komunikasi perlulah ditahap yang terbaik. Sistem saluran komunikasi yang cekap dengan penyaluran maklumat yang responsif akan dapat menghindarkan fakta daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Saya mengharapkan agar proses demokrasi ini berjalan lancar tanpa insiden yang boleh menjejaskan keharmonian di negeri ini,” katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini, hari ini.

Katanya PRU14 memerlukan kesiapsiagaan yang tinggi, oleh itu, para pegawai dan anggota hendaklah prihatin terhadap tuntutan kerja dan sentiasa mengambil berat terhadap keperluan untuk memberi yang terbaik dalam menjalankan tugas dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.