‘Saya Tiada Niat Buruk Terhadap Iqram Dinzly’ – Fathia Latiff

KUALA LUMPUR: Pelakon Fathia Latiff meminta maaf atas keterlanjurannya meninggalkan komen berbaur provokasi terhadap Iqram Dinzly ketika aktor itu membuat siaran langsung melalui Instagram, Selasa lalu.

Fathia atau nama penuhnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 30, memberitahu, insiden itu hanyalah salah faham dan dirinya tidak berniat jahat terhadap Iqram.

“Salam untuk semua… Saya ingin meminta maaf atas pertuturan saya dengan Iqram, tempoh hari. Ini hanyalah salah faham memandangkan saya dan dia dalam keadaan baik.

“Saya tidak mempunyai niat buruk (mala fide) sama sekali kepada beliau. Sekali lagi saya minta maaf di atas sensitiviti isu ini,” katanya melalui entri terbaharu pada laman sosial peribadinya, kira-kira jam 10.45 malam tadi.

Fathia yang sedang berada di Berlin, Jerman, mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan empat komen yang disifatkan netizen sebagai melampau dan provokatif terhadap Iqram.

Antara komen Fathia berbunyi ‘pergi bunuh diri’ dan ‘tak ada scene bunuh diri ke?’ yang mencetuskan perdebatan netizen.

Berikutan insiden itu, Iqram berang lalu berkongsi video menempelak aktres jelita itu di laman sosial.

Sejak beberapa minggu lalu, Iqram menjadi perbualan ramai apabila sering membuat siaran langsung melalui media sosial yang antara lain memaparkan perlakuan dirinya yang dianggap pelik hingga menarik perhatian mufti dan tokoh agama. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.