Seorang Maut, Pikap Rempuh Myvi

KUCHING: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi parah apabila kenderaan yang mereka pandu bertembung di Jalan Batu Kawa, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 10.40 malam, sebuah pikap jenis Ford Ranger dari arah Batu Kawa menghala ke Kuching tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Pada masa yang sama, sebuah kereta PERODUA Myvi yang datang dari arah Kuching menghala Batu Kawa gagal mengelak lalu berlaku pertembungan.

Kemalangan dua kenderaan di Jalan Batu Kawa, Kuching malam tadi menyebabkan seorang lelaki maut dan seorang cedera parah. – Foto ihsan Bomba

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada jam 10.48 malam, menggerakkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Menyelamat Batu Lintang ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati pemandu PERODUA Myvi yang dikenal pasti sebagai Kelvin Jason Jayis, 23, sudah meninggal dunia manakala pemandu Ford Ranger yang berusia 38 tahun pula cedera parah dengan kedua-dua kakinya patah,” katanya.

Beliau berkata, selepas dikeluarkan, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya. – BERITA HARIAN

Kemalangan dua kenderaan di Jalan Batu Kawa, Kuching malam tadi menyebabkan seorang lelaki maut dan seorang cedera parah. – Foto ihsan Bomba

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.