TN50 Bantu Golongan Yang Memerlukan

REMBAU: Seramai 200 keluarga dan 200 murid di daerah ini menerima sumbangan berjumlah RM336,000 menerusi program Transformasi Nasional 2050 (TN50) MyKasih Foundation – Kasih Tanpa Sempadan.

Inisiatif Belia TN50 Kementerian Belia dan Sukan dilaksanakan dengan kerjasama MyKasih Foundation itu disalurkan untuk tempoh setahun bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata 200 keluarga dengan pendapatan RM1,500 ke bawah, menerima bantuan program yang baharu diperkenalkan iaitu MyKasih ‘Love My Neighbourhood’.

Katanya, sebanyak RM40 akan didepositkan dua kali sebulan ke dalam MyKad penerima, bagi membeli pelbagai barangan keperluan seperti beras, roti, minuman, minyak masak dan makanan dalam tin, di kedai terpilih di daerah ini.

“200 murid dari keluarga berpendapatan rendah pula menerima bantuan MyKasih ‘Love My School’ sebanyak RM30 yang didepositkan dalam kad MyKasih setiap dua kali sebulan, untuk tempoh setahun.

“Penerima sumbangan itu membabitkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tanjung, SK Titian Bitangor, SK Taman Seri Rembau dan SK Kayu Ara.

“Mereka boleh menggunakan kad itu untuk membeli buku, alat tulis dan makanan di kantin sekolah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran TN50 MyKasih Foundation – Kasih Tanpa Sempadan di Dewan Seri Rembau di sini, hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, bantuan yang diberikan kali ini unik kerana menggunakan MyKad dan kad MyKasih.

“Setiap transaksi perlu menggunakan pin enam digit untuk keselamatan, ” katanya.

Sejak penubuhan MyKasih Foundation pada 2009, seramai 245,000 keluarga berpendapatan rendah dan 16,000 murid dari 242 sekolah menerima pelbagai jenis bantuan berjumlah RM200 juta.

Sementara itu, Pengarah Urusan MyKasih Foundation, Jeffrey Perera, berkata ketika ini yayasan itu bekerjasama dengan 50 syarikat korporat bagi menjayakan pelbagai program kebajikan.

Beliau berharap selepas ini, lebih banyak syarikat korporat akan bekerjasama dengan yayasan itu, dalam usaha membantu golongan yang memerlukan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.