Adik Maut, Kakak Cedera Kereta Terbalik

HULU SELANGOR: Seorang wanita maut manakala kakaknya cedera selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 4, Jalan Sungai Tua – Hulu Yam, di sini, hari ini.

Dalam nahas kira-kira jam 7 malam itu, Nurul Fhadzilah Nasir, 26, maut ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata ketika kejadian, mangsa bersama kakanya, Nurhusna Nasir, 33, yang beralamat di Kampung Pasir, Batang Kali dalam perjalanan dari arah Selayang menuju ke Hulu Yam.

“Kereta jenis Perodua Alza yang dipandu mangsa terbabas dan terbalik di bahu kanan jalan ketika melalui jalan berselekoh dan menuruni bukit.

“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan, namun pemandu kereta meninggal dunia ketika sedang dirawat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bak Phai berkata, kenderaan mangsa mengalami kerosakan remuk di semua bahagian.

Katanya, siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.