Gaya Hidup Sihat Hadiah Hari Jadi Akim

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini, penyanyi Akim Ahmad sering memandang enteng kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat, namun persepsi itu berubah sebaik saja meraikan sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-27, semalam.

Vokalis Akim & The Majistret itu berkata, melihat kegigihan isterinya, Stacy Anam mendapatkan berat badan ideal, menggerakkan hatinya untuk turut menukar rutin harian dengan menjalani gaya hidup lebih sihat.

“Sebelum ini, saya tidak begitu menitikberatkan rutin senaman, tetapi apabila menginjak usia 27 tahun, saya perlu lakukan sesuatu demi masa depan diri dan kerjaya. Saya perlu mengamalkan kegiatan sihat sebagai persediaan menjelang konsert Akim & The Majistret di Singapura pada 26 Januari ini.

“Secara tidak langsung, ia membantu saya menjaga stamina, selain dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama isteri. Saya kini mula sibuk dengan persiapan konsert, membuatkan masa dengan isteri dan keluarga agak terbatas,” katanya.

Menyentuh sambutan ulang tahun hari kelahirannya, Akim atau nama penuhnya, Afiq Hakim Ahmad bersyukur dengan kehadiran cahaya mata pertama, Eshaal yang menjadi pelengkap kepada rumah tangganya dan Stacy.

“Kelahiran Eshaal pada 17 Februari lalu menjadikan kehidupan saya dan isteri semakin lengkap. Setiap hari yang saya lalui begitu istimewa, lebih lagi apabila Eshaal turut meraikan ulang tahun kelahiran.

“Saya juga teruja apabila peminat turut meraikannya dengan melakukan kejutan menerusi acara bertemakan Jeans & Denim. Ingatan mereka membuatkan saya terharu,” katanya yang turut mempunyai anak angkat bernama Bella De Luna Valentina.

Akim berkata, sudah menjadi kebiasaan, dia akan mengosongkan jadualnya setiap kali tiba 18 Januari kerana mahu meraikan hari bermakna dalam hidupnya itu. Namun, jadualnya semalam padat dengan pelbagai aktiviti.

“Mungkin kedengaran klise, tetapi saya langsung tidak dapat menghidu kejutan yang dibuat kelab peminat. Sejak awal pagi semalam, saya sibuk melunaskan penggambaran muzik video Lagu Untuk Laila yang masih berbaki beberapa babak.

“Selesai penggambaran, saya dimaklumkan perlu menghadiri sesi fotografi bertemakan denim pada sebelah malam. Saya langsung tidak mengesyaki apa-apa, malah langsung tidak bertanya apabila melihat Stacy juga berpakaian sama.

“Sangka saya mungkin itu hanya kebetulan. Saya siap memesan makanan kepada Stacy kerana mahu makan sebaik selesai fotografi. Tidak sangka mereka sebenarnya merancang untuk melakukan kejutan sempena hari jadi saya,” kata Akim. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.