Penduduk FELDA Lurah Bilut Masih Bersatu Hati Ke Arah Lembah Digital Bilut

BENTONG – Penduduk FELDA di FELDA Lurah Bilut masih lagi mengekalkan kesepakatan dan bersatu hati dalam pelbagai aspek untuk menjayakan sesuatu perkara atau program.

Buktinya dalam sambutan Hari Keluarga FELDA Lurah Blut 2018 yang diadakan buat pertama kalinya pada hari ini.

Timbalan Pengerusi JKKK Felda Lurah Bilut, Md Zulkifle Bin Md Yunos menzahirkan rasa gembira dan teruja kerana semua kaum di tanah rancangan itu bersatu hati dan tolong-menolong menyiapkan persiapan untuk menjayakan sambutan terbesar itu.

“Seronok kerana penduduk sepakat menjayakan program hari keluarga ini. Tiga hari tiga malam, tiga kaum di Lurah Bilut bersatu padu menyiapkan persiapan sambutan hari keluarga ini.

“Rasa teruja kerana masih bersatu hati memandangkan sudah lama tidak pernah mengadakan acara yang terbesar seperti ini,” katanya ketika berucap di padang terbuka FELDA Lurah Bilut, di sini.

Kata Zulkifle, nilai bersatu hati yang masih kekal dalam diri setiap penduduk FELDA Lurah Bilut menunjukkan komuniti yang berkesan dan berjaya kearah lembah digital Lurah Bilut.

Hari Keluarga FELDA Lurah Bilut 2018 diadakan sejak semalam dan dirasmikan pada hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad.

Turut hadir memeriahkan sambutan hari keluarga ini adalah Ahli Parlimen Bentong, Dato’ Sri Liow Tiong Lai.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.