Geng ‘Basikal Lajak’ Ditahan

PETALING JAYA: Empat remaja berusia 14 tahun dan 15 tahun ditahan kerana disyaki menunggang basikal yang diubah suai secara berbahaya, petang semalam.

Remaja terbabit dikesan melakukan perbuatan itu di kawasan perumahan Persiaran Meranti Sri Damansara 13, berhampiran Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), dekat sini.

Turut dirampas ‘basikal lajak’ yang digunakan kumpulan remaja itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata operasi pada jam 3 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan remaja berkenaan.

“Dalam operasi itu, kita berjaya mengesan kumpulan remaja berkenaan dan melakukan tangkapan serta merampas empat buah basikal lajak.

“Semua remaja yang ditahan masih bersekolah. Rakaman percakapan mereka dan juga penjaga masing-masing sudah diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.