Perlu Klinik Senaman Di Setiap Daerah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menggesa penubuhan klinik senaman di setiap daerah sebagai usaha untuk mencegah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ini sangat penting berikutan dianggarkan 73 peratus daripada jumlah kematian di hospital kerajaan adalah disebabkan NCD.

“Terapi latihan menerusi klinik senaman berpotensi untuk mencegah NCD menerusi preskripsi jumlah senaman yang betul,” katanya kepada BERNAMA.

Terapi senaman berpotensi untuk merawat dan mencegah empat NCD utama iaitu penyakit darah tinggi, kencing manis, obesiti dan dislipidemia, menerusi preskripsi terapi yang betul.

Terapi yang juga berpotensi dijadikan rawatan alternatif bagi perubatan konvensional mencegah NCD itu terbukti mampu menghasilkan banyak perubahan positif kepada tubuh badan manusia, jika dilaksanakan dengan kaedah yang betul.

Dr Hilmi berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan sektor swasta menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memberi kesedaran kepada orang ramai kepentingan menjalani gaya hidup sihat dengan berkunjung ke klinik senaman.

Hilmi berkata, beliau sudah melawat Klinik Senaman Simfoni Baharu MS, klinik senaman pertama seumpamanya di Malaysia, di Bukit Jalil pada 16 Januari.

Klinik itu menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi membantu orang ramai mencegah penyakit kronik, menerusi protokol preskripsi senaman berkomputer untuk merawat dan campur tangan garis sempadan NCD dengan jumlah senaman yang sesuai.

Sementara itu, seorang ahli terapi senaman, Prof Dr Lee Chee Peng, berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah pada Persidangan Dunia Mengenai Perubatan Senaman (WCEM) ke-2 di Melaka pada September tahun ini.

Lee, yang juga naib pengerusi WCEM berkata, persidangan itu bakal mengumpul saintis senaman, pakar perubatan, pakar terapi dan jurulatih untuk membincangkan perubatan senaman, yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.