Bomba Melaka Selamatkan RM1 Bilion Nilai Harta Tahun Lalu

AYER KEROH: Sejumlah RM937,117,349 nilai harta yang terbabit dalam kebakaran berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, sepanjang tahun lalu.

Pengarah JBPM negeri, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata jumlah yang dicatatkan tahun lalu itu menurun berbanding kira-kira RM1.5 bilion nilai harta yang berjaya diselamatkan agensi itu pada tahun 2016.

“Bagaimanapun, penurunan nilai harta diselamatkan ini seiring dengan penurunan jumlah panggilan kebakaran iaitu sebanyak 1,150 panggilan pada tahun 2017, berbanding 2,465 panggilan pada tahun 2016.

“Pada masa sama, jumlah kes penyelamatan pula meningkat 2,651 kes pada tahun 2017, berbanding hanya 1,839 kes pada tahun 2016,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perbarisan Tahunan Tahun 2018 Peringkat JBPM Melaka, di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM negeri, Noor Hisham Kamal.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman, berkata sejumlah RM32,673,351 nilai harta pula musnah dalam kebakaran sepanjang tahun lalu, berbanding RM34,274,799 bagi tempoh sama tahun 2016.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak empat pusat tahfiz di negeri ini sedang dalam proses menaik taraf sistem keselamatan berkaitan kebakaran menerusi peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pihak bomba akan bertanggungjawab dalam pemeriksaan akhir sistem keselamatan dilaksanakan GiatMARA di empat pusat tahfiz di negeri ini yang dijangka siap Mac ini,” katanya.

Pada majlis itu, JBPM negeri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis marin Melaka dan agensi media termasuk BH, Utusan Malaysia, Sinar Harian, China Press dan RTM. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.