Malaysia Gesa Masyarakat Dunia Bantu Yaman

KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru segenap masyarakat dunia fokus terhadap krisis kemanusiaan di Yaman yang semakin kritikal.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jika dibiar, konflik di negara itu mengakibatkan dua juta rakyat Yaman kehilangan tempat berteduh selain 182,000 lagi menjadi pelarian sekali gus memerlukan perhatian dan tindakan segera negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata,  tanpa penyelesaian, krisis peperangan ini dilihat akan berlarutan sehingga merugikan rakyat Yaman secara keseluruhannya.

 

“Hari ini (semalam) kita membincangkan mengenai pelan operasi kemanusiaan yang komprehensif. Usaha ini berkembang pantas kerana keutamaan ketika ini adalah keperluan bantuan dan perlindungan kemanusiaan untuk rakyat Yaman.

 

“Saya juga mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia yang berpangkalan di Riyadh untuk kekal. Mereka akan menyediakan bantuan kemanusiaan selain menyumbang kepada usaha membina semula Yaman sekiranya diperlukan.

 

“Selain itu, Malaysia mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama dengan Pusat Bantuan dan Saluran Kemanusiaan Raja Salman selain menyumbang apa jua cara sekalipun bagi memulihkan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di Jeddah, hari ini.

 

Hishammuddin menghadiri mesyuarat tergempar OIC di Arab Saudi, pada Ahad lalu, bagi membincangkan isu serangan Yaman ke atas negara itu.

 

Mengulas lanjut, Hishammuddin mengalu-alukan pembukaan akses pelabuhan Laut Merah Al Hudaydah dan Saleef bagi memudahkan penghantaran bantuan ke Yaman.

 

Beliau berkata, pembukaan pelabuhan itu akan melancarkan saluran bekalan keperluan seperti makanan , bahan bakar dan perubatan ke negara itu.

 

Tambahnya, menurut PBB, lebih 600 struktur perubatan di Yaman lumpuh akibat tiada bekalan air mencukupi dan kotor sekali gus menyebabkan jutaan rakyat terpaksa menanggung sakit kronik seperti wabak taun.

 

“Ini benar-benar menjadi salah satu krisis kemanusiaan paling hebat pada zaman ini. Kita mesti bertindak sekarang untuk pastikan situasi bertambah baik sebelum melarat.

 

“Walaupun liputan terhad dan dibelenggu persepsi masyarakat dunia, kita mesti kekalkan tumpuan demi menyelesaikan penderitaan rakyat Yaman sehingga krisis ini berakhir,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.