Pembinaan SUKE Ditangguh Akibat Bongkah Batu Jatuh

AMPANG JAYA: Kerja pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan sementara untuk pembersihan bongkah batu yang terjatuh dari kawasan bukit berhampiran Jalan Saga 28, Taman Bukit Saga, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya beberapa kenderaan dan rumah terkena percikan lumpur susulan kejadian itu.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam satu kenyataan, hari ini berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menyiasat punca kejadian.

“Kita mengambil langkah memberhentikan kerja di tapak pembinaan berkenaan dengan serta-merta dan menjalankan operasi pembersihan di kawasan terbabit.

“Jika siasatan mendapati ada unsur kecuaian di dalam pelaksanaan kerja (pembinaan lebuh raya), tindakan tegas akan diambil ke atas kontraktor yang terbabit,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, semua kenderaan yang mengalami kotoran akibat percikan lumpur sudah pun dibawa ke pusat pembersihan kenderaan.

“Satu kaunter rujukan turut disediakan bagi menerima aduan dari orang awam dan memantau kerja pembersihan di lokasi kejadian.

“Selain itu, pasukan Emergency Response Team (ERT) ditugaskan 24 jam bagi menghadapi sebarang kecemasan,” katanya.

Selain itu, PROLINTAS turut bersedia menerima sebarang maklumat berkaitan salah urus kontraktor.

Maklumat berkenaan boleh disalurkan melalui talian Hotline PROLINTAS 1 300 88 9922 atau Facebook PROLINTAS Highways atau emel di feedback.suke@prolintas.com.my

Sementara itu, pihak Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi memaklumkan tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, kejadian bongkah batu jatuh itu dirakam orang awam yang videonya viral di media sosial sejak siang tadi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.