Sebagai Muslim, Saya Cari Makanan Halal – Finalis Hero Oven

KUALA LUMPUR: Finalis rancangan realiti masakan Hero Oven musim kedua, Adam Mahamed Ismail, 27, tidak menyangka luahan perasaan kecewa terhadap netizen yang mempertikaikan keimanannya sebagai Muslim kerana mencuba makanan di luar negara, menjadi tular.

Adam atau lebih popular dengan nama Instagram, Adamdidam, berkata luahan itu bertujuan memberi penjelasan dan pemahaman kepada pengikutnya yang terlalu skeptikal terhadap sesuatu perkara.

“Apabila di negara Islam, kita terlalu bersikap stereotaip mengenai hal berkaitan makanan halal. Saya faham kerana ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menipu pengguna dengan tanda halal.

“Di luar negara, apabila ada makanan halal dijual, ia benar-benar halal. Saya seorang Islam, sudah tentu saya akan mencari makanan halal. Namun, netizen tetap mempersoalkan gambar makanan dimuat naik dalam Instagram saya.

“Berikutan pemikiran sedemikian, saya memuat naik entri dalam Instagram untuk memberi pemahaman kepada netizen. Mereka perlu tahu, halal bukan semata-mata penyembelihan haiwan dengan Bismillah tetapi juga kebersihan. Janganlah kita bersikap perkauman. Begitupun, tak sangka pula luahan itu menjadi tular dalam media sosial,” katanya kepada BH.

Baru-baru ini, Adam yang memiliki kira-kira 258,000 pengikut dalam Instagram memuat naik luahan hatinya

FINALIS Hero Oven musim kedua, Adam Mahamed Ismail. – Foto Eizairi Shamsudin

Beliau terkilan dengan segelintir netizen yang bertanyakan status halal dan haram pada setiap gambar makanan dimuat naik dalam laman sosialnya.

Menerusi perkongsian itu, Adam meminta netizen berhenti mempersoalkan status gambar makanan terbabit dan masyarakat perlu mengubah pemikiran mereka kerana status halal suatu makanan bukan terletak pada negara atau bangsa yang menyediakannya.

Dalam pada itu, Adam berkata, sebagai individu yang ada ramai pengikut, beliau akan memastikan setiap perkongsian dimuat naik tidak mengundang perasaan kecil hati mana-mana pihak.

Katanya, ia secara tidak langsung akan mendidik netizen untuk bersikap dan menyuarakan pendapat dengan lebih berhemah.

“Bagi saya, apabila dikenali ramai, kita perlu menjaga tata tertib penggunaan bahasa. Saya tidak akan menggunakan kata kesat.

“Cuma saya faham, ada netizen mungkin beranggapan apabila mencapai jumlah pengikut tinggi, kita tidak lagi boleh menyuarakan sebarang pendapat,” katanya.

Sementara itu, Adam akan berentap bersama Muhammad Ikhwan Mustafar, Chai Chee Hung (Alex) dan Amir Hamzah pada pusingan akhir program masakan berkenaan pada 27 Januari ini, jam 5.30 petang di TV3.

Pada peringkat itu, finalis perlu menyiapkan tiga cabaran berdasarkan tema diberi.

Mereka harus menyediakan kek dua tingkat, menara macaron dan tiga jenis ‘petit fours’ untuk jamuan minum petang bertema ‘fun and easy’. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.