Seksa Sembila Hari Berakhir

SIBU: Seorang penganggur ditahan awal pagi tadi, selepas dipercayai mengurung dan melakukan ugutan jenayah ke atas teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Jalan Empelam di sini, sejak sembilan hari lalu.

Wanita itu dikatakan dapat melepaskan diri ketika disuruh suspek meminta wang daripada ibu saudaranya yang tinggal di Bawang Assan di sini, petang semalam.

Mangsa menggunakan kesempatan itu untuk membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata laporan wanita berusia 23 tahun itu membawa kepada penahanan suspek.

“Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dikurung suspek sejak 15 Januari lalu di sebuah bilik sewa dan dipaksa melakukan hubungan seks secara paksa.

“Suspek dikatakan bertindak ganas termasuk memukul dan menendang mangsa jika kemahuannya tidak dituruti, selain didakwa mengugut untuk mencederakan mangsa dan keluarganya jika cuba melarikan diri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jonathan berkata, mangsa melarikan diri dipaksa suspek untuk pergi meminta wang daripada seorang ibu saudaranya yang tinggal di Bawang Assan di pinggir bandar ini, sebelum ke balai polis melaporkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa tidak mengetahui punca suspek mengurung dan mengasarinya, namun tidak menolak kemungkinan lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.

Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menyerbu bilik sewa berkenaan pada jam 1.30 pagi tadi dan menahan suspek bagi siasatan lanjut.

“Suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 357 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan mengurung orang dengan salah dan melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sibu bagi pemeriksaan dan keadaannya dilaporkan stabil. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.