Bocor Maklumat: Polis Panggil Lowyat.Net

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengendali laman web Lowyat.Net berhubung pendedahannya mengenai kebocoran maklumat penderma organ di dalam talian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan mengenai kebocoran maklumat itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“Kita merasakan agak pelik kerana sebelum ini laman web yang sama mendedahkan kebocoran data membabitkan maklumat peribadi 56 juta pelanggan telefon mudah alih.

“Kali ini, laman web yang sama juga mendedahkan mengenai kebocoran maklumat 220,000 penderma organ di negara ini, mungkin ada sumber yang sama memberikan maklumat ini kepada pengendali laman web berkenaan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perjumpaan Ulung KPN bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) semua kontinjen dan daerah di Malaysia dan pelancaran buku panduan penyiasatan jenayah dan arahan penyiasatan jenayah di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kebocoran data 56 juta pelanggan telefon mudah alih, Fuzi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Alamat IP yang menggodam data berkenaan dikesan dari empat negara yang berlainan dan siasatan masih dijalankan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Semalam, laman web berkenaan mendedahkan kebocoran data peribadi membabitkan 220,000 penderma organ warga Malaysia yang mendaftar dengan hospital kerajaan dan pusat pemindahan organ.

Antara maklumat yang terbabit adalah kad pengenalan, nama dan hubungan saudara terdekat penderma, nombor telefon, alamat, bangsa, jantina dan organ yang akan disumbangkan bertarikh 1997 hingga 2016 yang difailkan secara atas talian. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.