Jenazah Guru Meninggal Di Korea Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ehsan Kepong, Normala Abdullah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh, dekat sini, hari ini.

Normala, 56, meninggal dunia selepas pengsan ketika keluar dari lif hotel penginapannya, Piano Hotel di Daegu, Korea Selatan pada jam 10.45 malam waktu tempatan, ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di negara itu, Jumaat lalu.

Jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Surau Al-Ikhwan di Bandar Baru Sungai Buloh, sebelum selesai dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi, diiringi ahli keluarga dan rakan.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Mohd Azaiauddin Alias, 60, dan empat anak iaitu Muniratulakmal, 32; Mashitah, 29; Abdul Muzammil, 26 dan Abdul Mu’az, 22.

Anak sulung Normala, Muniratulakmal berkata, jenazah ibunya tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.30 malam semalam, dan terus di bawa ke kediamannya di Bandar Baru Sungai Buloh.

Muniratulakmal yang kebetulan berada di Seoul ketika kejadian atas urusan kerja berkata, dia dan ahli keluarga terkejut dengan berita pemergian ibunya kerana Normala tidak memiliki penyakit kronik sebelum ini.

MUNIRATULAKMAL Mohd Azaiauddin. – Foto Eizairi Shamsudin

Katanya, dia dimaklumkan ibunya tidak sedarkan diri oleh bapanya, sebelum diminta hadir ke Daegu Catholic University Medical Centre dalam kadar segera oleh rakan ibunya yang turut serta dalam Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas itu, sebelum Normala disahkan meninggal dunia.

“Saya ke Seoul hari yang sama dengan ibu, tapi saya menaiki penerbangan lebih awal. Ibu dan ayah menghantar saya di KLIA.

“Selepas memeluk dan mencium ibu, dia berkata kami akan berjumpa di Seoul pada hari Isnin. Saya tak sangka itu kali terakhir akan bertemu ibu,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Muniratulakmal berkata, pemergian Normala amat dirasai keluarga dan rakan kerana ibunya sangat peramah dan disenangi semua orang, termasuklah anak muridnya.

“Ibu sudah menjadi guru sejak 32 tahun lalu dan sepatutnya berpencen pada September ini,” katanya yang turut memberitahu ibunya pernah bertugas di SMK Bukit Rahman Putra, sebelum menjadi guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh dan SMK Taman Ehsan.

Ditanya mengenai kos menguruskan jenazah ibunya, Muniratulakmal berkata, mereka membayar RM37,203 merangkumi caj dikenakan hospital dan kos penerbangan pulang ke Malaysia.

“Pihak insurans membayar RM10,000 dan selebihnya perlu dibayar ahli keluarga. Kami berharap Kementerian Pendidikan boleh membantu meringankan beban kami dengan menampung baki bayaran itu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.