Jenazah Normala Tiba Dari Korea Selatan

SEPANG: Jenazah guru Penolong Kanan Pendidikan Khas yang meninggal dunia di Daegu, Korea Selatan pada Sabtu lalu selamat tiba di tanah air malam tadi.

Normala Abdullah, 56, yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur, meninggal dunia ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di Korea.

Jenazah Normala tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Korean Air penerbangan KE671 pada jam 10.20 malam tadi dan kemudian dibawa dengan van jenazah ke kediaman beralamat di No 1979, Jalan 1A/4, Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1, Selangor.

Turut sama mengiringi jenazah ialah ahli keluarga arwah termasuk adiknya Zainal Abidin, 54, dan anak sulung arwah, Muniratul Akmal Mohd Azaiuddin, 31.

Zainal Abidin, ketika dihubungi berkata, jenazah arwah kakaknya itu akan dibawa ke Masjid Al Ikhwan, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor untuk solat jenazah.

“Jenazah kemudian akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1 untuk dikebumikan kira-kira jam 9.30 pagi esok (hari ini).

“Alhamdulillah, semua proses semasa membawa balik jenazah arwah kakak berjalan dengan lancar dan tiada sebarang masalah berlaku,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Normala meninggal dunia selepas pengsan ketika keluar dari lif hotel penginapannya, Piano Hotel, pada jam 10.45 malam waktu tempatan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.