Kedah Arah Kaji Kesan Pembalakan Kepada Air Mentah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menjalankan kajian berhubung kesan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda terhadap kualiti air mentah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata laporan kajian itu diminta diserahkan kepadanya secepat mungkin sebelum tindakan susulan boleh diambil.

“Kita sudah arahkan Jabatan Perhutanan membuat kajian dan kita tunggu hasil kajian dahulu.

“Saya perlu tengok laporan kajian sebelum membuat tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India, di sini.

Pada majlis itu, Ahmad Bashah menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM900,000 kepada 48 buah kuil, 21 badan bukan kerajaan (NGO) dan 59 buah sekolah India di negeri ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mendesak kerajaan negeri menghentikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, seluas 100,000 hektar, serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata ia berikutan NADMA bimbang aktiviti itu boleh mengundang keadaan banjir selain mempengaruhi kualiti air di Kedah dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Ahmad Bashah mengesahkan kerajaan negeri mengarahkan semua aktiviti pembalakan di Hutan Simpang Bukit Enggang di Sik, dekat sini, yang didakwa menjejaskan bekalan air tandak yang digunakan penduduk di kampung berdekatan, dihentikan.

Susulan itu, tandak air baharu dibina di Bukit Padang, dekat sini menggunakan peruntukan lebih RM40,000 daripada Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI), sekali gus mengatasi isu yang didakwa menjejaskan 400 penduduk Kampung Paya Terendam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.