Lebih RM100 Juta Naik Taraf Jalan Balak

MIRI: Sarawak memperuntukan lebih RM100 juta tahun ini bagi menaik taraf jalan balak di kawasan tengah dan utara negeri ini untuk manfaat penduduk luar bandar.

Sejumlah RM70 juta akan diagihkan untuk menaik taraf jalan balak di kawasan Baram membabitkan jarak 199 kilometer, selebihnya iaitu RM59.4 juta ialah peruntukan untuk daerah Kapit.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan negeri berharap menerusi peruntukan yang besar itu akses jalan bagai penduduk luar bandar ke bandar akan menjadi lebih mudah berbanding sekarang.

Beliau berkata, projek menaik taraf jalan balak di Sarawak itu memasuki fasa keempat bertujuan untuk memastikan keselesaan penduduk luar bandar di Sarawak.

“Di Baram pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil rakyat di kawasan berkenaan akan mengenal pasti dan memutuskan jalan balak yang akan dinaik taraf tahun ini.

“Biasanya, faktor utama pemilihan laluan yang akan dinaik taraf ialah adalah berdasarkan kepadatan populasi di kawasan penempatan berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabat JKR di sini, hari ini.

Alexander berkata, jumlah pelajar sekolah yang ramai di kawasan penempatan itu juga turut diambil kira dalam pemulihan laluan yang akan dinaik taraf.

Beliau berkata, usaha itu diharap mampu merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di kawasan luar bandar, sekali gus memudahkan mereka memasarkan produk pertanian di bandar seperti Miri dan Sibu.

Bagi kawasan penempatan yang tidak terpilih untuk projek berkenaan, beliau berkata penduduk perlu bersabar kerana kerajaan melaksanakannya secara berperingkat.

“Berikutan peruntukan yang terhad, kita perlu menggunakan peruntukan yang sudah diluluskan untuk menaik taraf jalan balak berkenaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.