#MH370: Ocean Infinity Sasar Jumpa Dalam 30 Hari

SYDNEY: Syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity yang memulakan misi mencari MH370 menyasar untuk menemui bangkai pesawat itu dalam tempoh sebulan.

“Kami berharap boleh menemui pesawat ini dalam bulan pertama pencarian. Malaysia memberikan masa selama tiga bulan untuk kami melakukan pencarian.

“Sekarang sudah masuk minggu pertama. Kita boleh mendapat maklumat baharu dalam tempoh beberapa minggu lagi,” kata pakar oceanografi agensi saintifik kebangsaan terkemuka Australia CSIRO, David Griffin yang mengadakan pertemuan dengan pasukan Ocean Infinity di London bulan lalu.

Misi pencarian baharu itu berbekalkan peralatan analisis oceanografi dan kapal pencarian berteknologi tinggi, bagi mengesan pesawat Boeing 777 yang hilang pada Mac 2014 ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pencarian bermula Isnin lalu, di kawasan terpencil di Lautan Hindi dengan harapan untuk menyelesaikan misteri paling hebat dalam industri penerbangan.

Sebelum ini, misi pencarian diterajui Australia sudah memeriksa kawasan seluas 120,000 kilometer persegi jauh di pesisir barat benua itu selama 28 bulan, namun tiada kesan pesawat terbabit ditemui dan misi dihentikan pada Januari tahun lalu.

Ocean Infinity bakal meraih insentif besar jika menemui pesawat itu kerana dalam perjanjian pencarian, mereka hanya akan dibayar sehingga AS$70 juta (RM274.01 juta), jika berjaya menemui pesawat terbabit dan kotak hitamnya. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.