Persaingan Tiga Penjuru Beri Kelebihan BN Johor

KUALA LUMPUR: Persaingan tiga penjuru dengan PAS dan gabungan pakatan pembangkang di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, satu-satunya cara untuk gabungan pembangkang diterajui DAP mengatasi kelebihan BN adalah dengan memenangi sokongan daripada penyokong parti pemerintah itu.

Sebagai contoh, bagi kerusi ditandingi BN, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sekiranya 10 peratus pengundi yang anti BN menyokong PAS, PPBM perlu menangani isu itu dengan mendapatkan sokongan lebih 10 peratus juga daripada penyokong BN.

Dapatan itu diperoleh daripada hasil kajian bertajuk Winning Odds for Pakatan Harapan in Johor (GE14) yang dijalankan penyelidik media sosial, Politweet.

“Adalah mencabar untuk memujuk pengundi Melayu beralih daripada BN kepada Pakatan Harapan.

“Daripada pemerhatian kami menerusi Twitter sejak 2015, orang Melayu yang berusia antara 21 hingga 30 tahun di Johor lebih cenderung memberi sokongan kepada UMNO, berbanding golongan itu di negeri lain,” menurut Politweet.

Politweet adalah firma penyelidik bebas yang menganalisis interaksi dalam kalangan rakyat Malaysia menggunakan media sosial. Firma itu memantau aktiviti politik di Twitter sejak 2009 sebelum dikembangkan ke laman sosial Facebook bermula Disember 2012.

Sehingga suku pertama tahun lalu, lebih 1.77 juta pengundi, termasuk 235,733 pengundi baharu direkodkan.

Menurut Politweet, pembahagian kerusi antara gabungan pakatan pembangkang menyaksikan PPBM memperoleh 18 kerusi, termasuk 16 kerusi majoriti Melayu dan bakinya adalah kerusi campuran.

DAP pula akan bertanding di 14 kerusi, termasuk 10 kerusi majoriti Cina dan empat di kerusi campuran, PKR pula di 11 kerusi majoriti Melayu dan satu di kerusi Cina, manakala Parti Amanah Negara (PAN) memperoleh 12 kerusi yang kesemuanya kerusi majoriti Melayu.

Dapatan kajian menjangkakan PPBM dan PKR akan bertanding di kerusi paling sukar untuk dimenangi dalam persaingan satu lawan satu.

Kajian juga menunjukkan UMNO mendominasi dari segi perbuatan dan `page likes’ pengguna Facebook berusia 21 tahun dan ke atas yang berminat terhadap parti politik, manakala PAS didapati hanya mempunyai pengaruh kecil di Johor.

Buat masa ini, Facebook tidak menyediakan statistik untuk PPBM atau PAN, sekali gus menunjukkan minat yang ditunjukkan pengguna laman sosial ke atas parti itu sangat rendah.

Politweet mendapati 61 peratus pengguna Facebook secara eksklusif tertarik dengan UMNO, manakala 22 peratus terhadap UMNO dan PKR, lima peratus terhadap UMNO, PKR dan PAS, serta dua peratus terhadap UMNO dan PAS.

Hanya lapan peratus secara eksklusifnya tertarik kepada PKR, manakala PAS hanya dua peratus.

Menurut Politweet, BN dan gabungan pakatan pembangkang bakal berdepan masalah berkempen di Facebook kerana hanya 24.5 peratus daripada jumlah pengundi menunjukkan minat terhadap UMNO, PKR, PAS atau Dr Mahathir.

Bagaimanapun UMNO masih ada kelebihan dalam kalangan pengguna (penyokong) akar umbi dan sebahagian besarnya adalah wanita.

Keadaan itu dilihat penyelidik sebagai menyukarkan usaha gabungan pakatan pembangkang dan Dr Mahathir untuk menyebarluaskan mesej mereka.

“UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik lebih banyak minat daripada wanita berbanding parti pembangkang dan Dr Mahathir,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.