Saya Cari Rezeki Bukan Dengan Jaja Hal Peribadi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Salma kurang selesa andai cerita peribadinya lebih diberikan perhatian sehingga menenggelamkan kerjaya seni yang diceburi sejak tujuh tahun lalu.

Finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 itu, berkata sebelum ini, kecoh konon suaminya, Mohammad Azri Abdullah, mendera anak sulung daripada perkahwinan pertamanya, Puteri Nurul Huda, hingga ia menjadi kes mahkamah.

Kata juara Mentor musim kelima dan rancangan 3 Juara itu, orang luar seolah-olah lebih tahu mengenai apa yang benar-benar berlaku.

“Biasalah, dalam kehidupan ini, pasti ada yang ingin mengambil tahu walaupun kita sendiri tidak mengganggu orang lain. Sebagai artis, kita tidak dapat lari daripada perkara sebegitu.

“Begitupun, secara jujurnya, saya tidak suka jika orang luar terlampau ambil tahu fasal peribadi saya. Lebih baik mereka bercerita mengenai soal kerjaya. Saya cari makan pun sebagai penyanyi, bukan dengan menjaja hal peribadi.

Apabila terlampau fokus pada cerita peribadi, orang takkan beri tumpuan terhadap kerjaya saya. Susah saya nak cari makan kalau situasi itu yang berlaku. Jadi, biarlah soal peribadi jadi simpanan saya sendiri,” katanya.

Kata Salma, dirinya kini bahagia melayari rumah tangga bersama Azri, 31, yang juga bekas peserta sebuah program realiti. Mereka berkahwin pada 31 Januari 2015.

“Puteri Nurul Huda pun sudah berusia 11 tahun. Anak saya hasil perkongsian hidup dengan Azri, Andi Raisya, pula tiga tahun. Kedua-duanya juga rapat dengan suami,” kata Salma, 28.

Menyentuh perjuangannya di bidang muzik, Salma, berkata dirinya selesa dengan keadaannya sekarang yang tidak terlalu menonjol.

“Saya selesa bersederhana dan tidak terlampau popular. Kalau terlebih popular, kita akan terdedah dengan macam-macam perkara,” katanya yang lebih suka perlahan-lahan membina nama di arena seni.

Mengenai pembabitan dalam AJL32 dengan mempertaruhkan lagu, Akhirnya Cinta, ciptaan Ajai dan lirik oleh Slen, Salma berkata dirinya kini rancak mengadakan latihan.

“Inilah kali pertama saya berentap di pentas AJL. Saya akui gementar kerana ia sebuah pentas besar lagi berprestij.

“Bagaimanapun, saya kena berfikiran positif. Ia menjadi peluang yang sangat besar untuk saya membuktikan kebolehan diri,” kata artis yang bernaung di bawah syarikat Wake The Baby milik Ajai ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.