Tipu Projek Pembinaan Rumah, Pelakon Direman Dua Hari

AMPANG JAYA: Pelakon bergelar Datuk yang ditahan sekali lagi, semalam, selepas disyaki menipu berhubung projek pembinaan sebuah banglo, direman dua hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata mahkamah membenarkan reman sehingga esok ke atas suspek berusia 37 tahun itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terbabit.

“Reman (dibenarkan) selama dua hari saja,” katanya ringkas ketika dihubungi BH, hari ini.

Pelakon itu ditahan semalam ketika hadir ke Balai Polis Bukit Indah untuk diambil keterangan pada jam 5.45 petang.

Tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan oleh seorang wanita yang mendakwa syarikat milik suspek gagal membina banglo yang dijanjikan.

Dalam kes itu, mangsa dikatakan membuat pembayaran RM10,000 secara tunai kepada syarikat milik suspek pada 18 Jun lalu sebelum menandatangani perjanjian dengan sebuah lagi syarikat sekutunya.

Mangsa juga mendakwa turut menyerahkan baki bayaran sebanyak RM50,000 ke akaun syarikat sekutu itu, namun sehingga hari ini, rumah yang dijanjikan kepada mangsa masih belum dibina.

Tahun lalu, suspek juga pernah ditahan untuk siasatan berhubung kes penipuan jualan rumah membabitkan kerugian RM6.2 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.