IKIAM Anjur Persidangan Perkasa Ekonomi Umat Islam

AMPANG: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) buat pertama kalinya akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata persidangan dengan objektif memperkasakan sektor ekonomi umat Islam itu akan berlangsung pada Mac ini.

Beliau berkata, untuk merealisasi hasrat itu, IKIAM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Antara agenda besar yang akan kita bincangkan dalam persidangan ini adalah pengenalan logo Produk Ummah yang berfungsi membezakan produk halal milik usahawan Islam dengan bukan Islam.

“Logo Produk Ummah sama fungsinya seperti logo halal JAKIM. Terapi, bezanya…Logo ini menandakan produk berkenaan halal, selamat dan bersih digunakan umat Islam sekali gus dapat membantu usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka.

“Tidak seperti logo halal yang dikeluarkan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ia terbuka untuk dipohon oleh usahawan Islam dan bukan Islam. Usahawan kecil juga menghadapi kesukaran memohon kerana perlu mempunyai kilang sebagai syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sekalung Budi Bersama Media, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut syarat memohon logo Produk Ummah, Zahidi berkata, usahawan hanya perlu membayar fi memproses dan peguam kira-kira RM200 serta diwajib membayar zakat.

Katanya, IKIAM dan RISDA memperkenalkan logo Produk Ummah susulan kurang syarikat Islam memperoleh halal dari JAKIM.

“Dianggarkan, 73 peratus syarikat bukan Islam mendapat status halal.

“Kita harap usaha yang kita lakukan ini dapat membantu memperkasa dan merancakkan ekonomi umat Islam di rantau Asia Tenggara serta negara anggota OIC,” katanya.

Selain itu, sektor pelancongan dan kewangan berasaskan Islam turut diketengah sebagai agenda untuk diperbincang dalam persidangan itu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.