Isu Hospital : Pembangkang Sengaja Timbul Kemarahan Rakyat

LUMUT – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pembangkang sengaja memainkan isu pembangunan projek tiga hospital di Perak bagi menimbulkan kemarahan rakyat.

Beliau berkata kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Titi Serong Abu Bakar Hussain (PAS) yang menganggap projek tiga hospital itu gagal dilaksanakan adalah tidak tepat dan ia sengaja digunakan sebagai permainan politik parti pembangkang.

“Saya tidak faham apa yang cuba disebutkan beliau (Abu Bakar) bahawa saya persendakan rakyat, ini projek yang diumumkan kerajaan tapi malangnya dimainkan pihak dan parti beliau bagi mengumpulkan kemarahan dalam kalangan rakyat.

“Mereka anggap apabila kerajaan bersetuju, seolah-olah hari ini berjanji, esok siap atau dia akan mainkan (isu itu). Tentu kerajaan perlu mengambil kira keperluan serta pandangan daripada pihak hospital sendiri,” katanya selepas merasmikan Program Lestari Modal Insan Koperasi sempena Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Persalam Manjung Bhd di Teluk Batik di sini, hari ini.

Katanya kerajaan sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam setiap janji termasuk pengumuman tentang projek hospital baharu di Kerian, Perak Tengah dan penambahbaikan Hospital Manjung. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.