KPDNKK Rampas 3,485 Paket Minyak Masak Subsidi

PARIT BUNTAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Parit Buntar merampas 3,485 paket minyak masak subsidi bernilai RM8,364 yang cuba diselewengkan di sebuah premis di Bagan Serai, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata dalam serbuan pada 9.30 pagi itu, satu pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah premis pemborong barang kawalan GMT (gula, minyak dan tepung).

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung sebuah lori membawa minyak masak daripada syarikat pembungkus dari Selangor yang dijadual menghantar minyak tersebut ke Perlis, telah keluar ke Plaza Tol Alor Pongsu, Bagan Serai dan menghala ke lokasi kejadian untuk tujuan tidak pasti.

“Lori terbabit sepatutnya menghantar minyak tersebut kepada pemborong di Perlis, namun keluar melalui susur keluar Plaza Tol Alor Pongsu dan terus menuju ke sebuah premis di Bagan Serai.

“Curiga dengan tindakan pemandu lori itu, kami segera ke premis terbabit dan membuat pemeriksaan mendapati premis itu tidak membuat sebarang pesanan mengikut syarat ditetapkan,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNKK cawangan Parit Buntar hari ini.

Shamsul Nizam berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan sejumlah 205 kotak, yang masing-masing mengandungi 17 bungkus minyak masak subsidi seberat 3,485 kilogram.

“Kami membuat pemeriksaan terhadap borang pesanan mendapati premis terbabit ada menerima bekalan minyak masak sejumlah 8,500 kilogram daripada syarikat pembekal barang kawalan beralamat di Kamunting, Taiping.

“Apabila pemeriksaan dilakukan ke atas invois itu mendapati premis terbabit tidak wujud di Kamunting Taiping, sebaliknya premis itu beroperasi di Bagan Serai dan menjalankan perniagaan runcit dan bukannya membekalkan barangan kawalan,” katanya.

Beliau berkata rakaman percakapan terhadap pemilik premis berusia 40-an serta seorang pekerja berusia 50-an sedang dilakukan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 8(4) (B) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata KPDNKK akan terus mempertingkatkan usaha bagi memastikan tiada penyelewengan terhadap barangan kawalan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab agar bekalan barangan mencukupi di pasaran. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.