Media Kelantan Terima Taklimat PRU-14

KOTA BHARU: Kira-kira 50 pengamal media di Kelantan buat julung kali menyertai taklimat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Taklimat selama empat jam disampaikan Pendaftar Akademi Pilihan Raya, Nik Aminudin Nik Shahar Shah, bagi memberi pendedahan kepada petugas media mengenai perjalanan PRU-14 yang bakal diadakan nanti.

Timbalan Pengarah Pilihanraya Kelantan, Mohd Fadly Mohd Fauzi, berkata selain pengamal media, taklimat itu juga sudah diadakan untuk parti politik dan akan diteruskan kepada petugas keselamatan, kakitangan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pihaknya akan terus mengadakan taklimat kepada pihak berkaitan yang dijangka selesai bulan depan.

“Kita (SPR) sudah bersedia menghadapi PRU-14 akan datang. Di Kelantan, seramai 18,000 petugas yang dilantik dalam kalangan penjawat awam dan NGO untuk menguruskan pilihan raya nanti,” katanya selepas taklimat SPR, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab.

Katanya, dengan taklimat itu, diharap tiada lagi isu berbangkit dan media dapat melaporkan berita yang baik serta telus. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.