MRT Corp Lapor Polis Penyalahgunaan Identiti Syarikat

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) tidak pernah membuat sebarang bentuk persetujuan dengan mana-mana organisasi bukan kerajaan untuk menjadi benefisiari bagi sebarang kempen derma.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata syarikat itu juga tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapapun mendapatkan derma bagi mana-mana organisasi untuk mewakili pihaknya, termasuk organisasi kebajikan atau pertubuhan amal.

Ketika ini, beliau berkata, pihaknya mengesan ada beberapa syarikat sudah diminta oleh individu tertentu untuk memberi sumbangan atas nama MRT Corp.

“MRT Corp amat bimbang dengan perkembangan ini kerana ia adalah kes serius membabitkan penyalahgunaan identiti MRT Corp dan nama pegawai kanan MRT Corp,” katanya.

Najmuddin berkata, MRT Corp akan membuat laporan polis ke atas kes itu dengan segera dan menggesa mana-mana organisasi yang menerima panggilan telefon daripada individu terbabit supaya turut membuat laporan polis.

“Organisasi terbabit harus segera memaklumkan kepada MRT Corp jika mereka menerima panggilan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga meminta mana-mana syarikat yang dihubungi individu atau organisasi tertentu mengenai permintaan derma atas nama MRT Corp, supaya tampil mendapatkan pengesahan terus daripada MRT Corp.

Katanya, modus operandi dalam kes berkenaan ialah membuat panggilan telefon dan mendakwa sumbangan dikutip akan disalurkan kepada organisasi bukan kerajaan yang mewakili kakitangan kerajaan.

Malah, beliau berkata, individu terbabit sudah beberapa kali memperkenalkan diri sebagai daripada kumpulan kakitangan kanan MRT Corp.

“Individu ini juga mengemukakan kepada syarikat berkaitan, kebanyakannya kontraktor dan subkontraktor Projek MRT Lembah Klang, surat rasmi yang mengandungi kepala surat organisasi bukan kerajaan berkenaan.

“Surat itu turut mengandungi nombor akaun bank organisasi terbabit,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.