Ramai Tidak Hayati, Fahami Wasiat Raja Melayu

KUALA LUMPUR: Wasiat Raja-Raja Melayu yang dimeterai oleh semua raja Melayu pada 5 Ogos 1957 perlu dihayati rakyat supaya tidak timbul tuntutan terhadap pelbagai isu sensitif yang tidak munasabah sehingga mewujudkan perpecahan kaum.

Perkara itu antara ketetapan dibuat Biro Ekonomi Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang bersidang semalam, dihadiri wakil 16 Kluster Ekonomi di bawah majlis berkenaan.

Pengerusi Biro Ekonomi MPM, Hasan Hamzah, berkata pada persidangan itu, Biro Ekonomi MPM juga bersetuju mana-mana kumpulan atau pertubuhan perlu meneliti kandungan Wasiat Raja-Raja Melayu sebelum membuat sebarang tuntutan.

Katanya, rujukan kepada wasiat itu akan menjadikan sebarang tuntutan dibuat dengan lebih adil dan saksama, untuk semua kelompok masyarakat di negara ini.

“Justeru, kami mendesak kerajaan melaksanakan sepenuhnya semua peruntukan terkandung dalam Wasiat Raja-Raja Melayu yang dimeterai semua raja Melayu pada 5 Ogos 1957.

“Kami melihat perkembangan mutakhir wujud pelbagai tuntutan membabitkan isu sensitif dan tidak munasabah oleh puak yang kiasu dan mementingkan diri sendiri sehingga menimbulkan kebimbangan.

“Kami khuatir fenomena ini akan mengheret pelbagai pihak lain termasuk Bumiputera, terikut sama bertembung dan membuat lagi banyak tuntutan, yang akan ada di antaranya tidak munasabah dan menjerat kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Hasan berkata, Wasiat Raja-Raja Melayu itu bukan hanya melindungi kepentingan kaum Bumiputera saja dan ramai yang tidak faham kerana tiada penjelasan terperinci pernah dibuat mana-mana pihak.

“Itu tidak betul. Wasiat ini adalah juga cagaran kepada penerimaan raja Melayu kepada Perlembagaan Persekutuan yang ada. Maknanya, Wasiat Raja-Raja Melayu yang begitu berharga terabai begitu saja dan tiada siapa peduli, termasuk usaha memastikan semua rakyat di negara ini faham serta menghayati kandungan wasiat itu,” katanya.

Beliau berkata, MPM meminta kerajaan Jabatan Istana Negara dan Jabatan Istana Negeri di semua negeri, memberi taklimat kepada semua pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang, bagi memastikan mereka faham dan menghayati isi kandungan semua wasiat itu.

“Kami mahu semua pemimpin diwajibkan menghadiri taklimat itu. MPM juga menuntut semua pihak tanpa mengira fahaman ideologi politik supaya bertanggungjawab melaksanakan atau memastikan semua wasiat itu dilaksanakan sepenuhnya dan dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap orang supaya kerajaan yang memerintah melaksanakan sepenuhnya semua wasiat itu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.