Tunang Remy Dilarang Buat Kenyataan

PELAKON Remy Ishak menasihati tunangnya, Ezza Yusof supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perhubungan mereka di laman sosial.

Remy atau Mohamad Zalimie Ishak, 35, berkata pesanan tersebut adalah untuk mengelakkan salah faham dan mengelakkan wanita tersebut tertekan memikirkan kata-kata netizen.

“Selalunya, saya berpesan kepada Ezza supaya jangan layan sangat apa orang luar kata dan tak perlu nak keluarkan sebarang kenyataan yang dirasakan kurang sesuai untuk dikongsi.

“Niat saya bukan mengongkong tapi cuma nak elakkan salah faham dan tak mahu dia fikirkan tentang gosip begini. Biarlah saya seorang yang lalui,” katanya kepada mStar Online.

Remy Ishak ditemui di sidang media Dosa yang diadakan di Hotel Nouvelle, Seri Kembangan, Selangor pada Rabu.

Terdahulu, Ezza menerusi Instagram miliknya menafikan khabar angin mengatakan dia pernah berkahwin dan merupakan seorang janda.

Remy kumpul duit untuk berkahwin.

Sementara itu, Remy berkata dia tidak mengetahui mengenai gosip tersebut dan mengesahkan tunangnya itu bukanlah seorang ibu tunggal.

“Ada viral ke tentang kisah dia (Ezza) dah kahwin? Saya tak tahu pula. Tapi apa yang boleh saya kata dia belum pernah berkahwin.

“Sebab tu saya selalu pesan supaya dia tak perlu layan sangat gosip-gosip begini, nanti dia yang akan tertekan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan berkahwin, Remy berkata ia adalah perkara yang tidak diketahui lagi buat masa ini dan menyerahkan ia pada jodoh.

“Sekarang ni saya nak kumpul duit dulu. Sudah cukup semuanya baru boleh ke arah itu. Lagi pula sekarang ini ada beberapa tugasan yang belum diselesaikan,” katanya.

Remy mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan itu pada Mei tahun lalu.

Bercakap mengenai karier seni, Remy bakal muncul dalam drama Dosa, kolaborasi mega di antara produksi Malaysia dan Indonesia.

Drama lapan episod ini bakal disiarkan di Astro First saluran 480 bermula 14 Februari ini.

Selain Remy,  ia turut dibintangi oleh Datuk M.Nasir, Ashraf Sinclair, Hisham Hamid dan Shenty Feliziana. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.