23 Artis Veteran Berangkat Kerjakan Umrah

SEPANG: Seramai 23 penggiat seni veteran tanah air berangkat ke Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah bermula 26 Januari sehingga 6 Februari depan.

Pengerusi Ekskutif Yayasan Perdana Umrah, Datuk Rizal Mansor berkata, usaha menghantar selebriti ke Tanah Suci itu sebagai merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin memberi peluang kepada penggiat seni veteran ke Makkah.

“Alhamdulillah usaha bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri yang dizahirkan sendiri beliau ketika majlis berbuka puasa bersama penggiat seni pada Ramadan tahun lalu akhirnya terlaksana.

“Seramai 23 penggiat seni veteran terpilih daripada pelbagai latar belakang untuk ke Tanah Suci bagi melakukan ibadah umrah,” katanya.

Rizal ditemui pada majlis pelepasan peserta umrah penggiat seni di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Jumaat.

Artis dan mereka yang terlibat dalam membawa penggiat seni mengerjakan umrah.

Antara selebriti yang terpilih adalah Ibnor Riza, Hamid Gurkha, Sulaiman Yassin (Mat Over), Harun Hashim, Mat London, Zaiton Sameon, Sahara Yaacob, Shima, Aida Agil, Zaleha Hamid, Ayati Tasrip dan Halil Chik.

Program itu adalah anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Mustika Kasih dan Yayasan Perdana Ummah.

Dalam pada itu, Rizal berkata, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi memilih peserta yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pelakon.

“Kriteria pemilihan adalah dari segi kewangan, kemampuan fizikal dan tidak mempunyai larangan ke luar negara.

Hamid Gurkha bersama isterinya Timah Abdul Hamid.

“Pada awalnya pihak kami ingin membawa lebih ramai peserta namun ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Pun begitu kami berharap peserta kali ini alan dipermudahkan segala urusan di sana nanti,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon Hamid Gurkha tidak menyangka diberi peluang sekali lagi untuk menziarahi Tanah Suci selepas kali terakhir menjejakkan kaki pada tahun 2014.

Kata Hamid, peluang ini akan digunakan sebaiknya untuk melakukan ibadah dan melepaskan rindu di Tanah Suci.

“Alhamdulillah ini kali ke tiga saya buat Umrah dan walaupun pernah ke sana tetapi perasaan teruja itu memang sentiasa ada.

Shima

“Memang tak sabar nak ke sana dan gunakan peluang diberikan ini dengan sebaik-baiknya bagi melakukan ibadah,” katanya.

Bagi penyanyi Shima yang popular menerusi lagu Teringin, berita dipilih sebagai rombongan Ke Makkah membuatkan dia terkejut dan hampir tidak percaya.

Ini kerana katanya, dia menyangka panggilan mengenai pemilihannya itu disangka sebagai gurauan kerana sudah lama menyimpan hasrat ke Makkah.

“Mula-mula ingat kena ‘prank’ tetapi rupa-rupanya betul. Memang terkejut betul saya kerana akhirnya doa saya hendak ke sana termakbul.

“Kesempatan ini akan saya gunakan sebaiknya dan anda mendoakan ibadah saya lancar di sana nanti,” katanya. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.