Bantu Wanita Dalam Pertanian

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merangka program membantu wanita untuk berjaya dalam perniagaan dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata rancangan berkenaan selari dengan Tahun Memperkasa Wanita 2018 yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

“Saya percaya peranan wanita boleh diperkasa dalam bidang pertanian sebagai satu kerjaya pilihan yang boleh memberi pendapatan tinggi. Kebebasan kewangan dan ekonomi satu asas penting dalam memperkasa wanita.

“Kita mahu membantu wanita mempunyai keupayaan diri sendiri dalam soal kewangan dan ekonomi diri mereka.

“Kita tahu wanita mahu menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat 2018 di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, kementerian itu merangka beberapa program termasuk program keusahawanan wanita dalam bidang pertanian untuk 2018.

Katanya, antara program yang akan dianjurkan termasuklah Karnival Usahawan Wanita pada Mac ini dan Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2018) yang menampilkan pembabitan wanita.

Beliau berkata, kementeriannya juga mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk bekerjasama membantu wanita membina kerjaya berkaitan pertanian.

Ahmad Shabery berkata, agensi pembiayaan seperti Agrobank, TEKUN Nasional dan Unit Agropreneur Muda juga memperuntuk sebahagian besar dana untuk membantu wanita memulakan dan memperkembang perniagaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.