Jual Laksa Terlarang

KUALA LUMPUR: Syarikat pengilang makanan yang mengaku salah menjual laksa mengandungi bahan pengawet terlarang yang boleh menyebabkan penyakit kanser jika dimakan secara berpanjangan, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Zuhair Rosli mengenakan denda itu terhadap EHH Food Industry Sdn Bhd kerana menjual laksa dengan jenama Laksa Pendek yang didapati mengandungi asid benzoik yang tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Zuhair turut memerintahkan harta syarikat EHH Food Industry bernilai RM10,000 disita jika syarikat itu gagal membayar denda yang diperintahkan mahkamah.

Bagaimanapun, syarikat itu yang diwakili Penyelia Operasinya, Oh Ching Hai membayar denda berkenaan.

EHH Food Industry mengaku bersalah menjual tiga bungkus Laksa Pendek, mengandungi bahan pengawet asid benzoik dan didakwa mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman maksimum denda RM20,000 atau penjara lima tahun.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah pasar raya di Jalan Metro Prima, Kepong di sini pada jam 10 pagi, 22 Ogos 2017.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Rosli Arsyad Mohd Jaafar memohon EHH Food Industry dikenakan hukuman maksimum kerana kesalahan yang dilakukan membabitkan kepentingan awam.

Rosli berkata, asid benzoik adalah bahan pengawet yang tidak dibenarkan dan boleh menyebabkan kerengsaan serta penyakit kanser jika dimakan di dalam tempoh masa yang panjang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.