Pemeriksaan Kesihatan Berkala Ke Atas Warga Pendidik: Mahdzir

PADANG TERAP: Warga pendidik disaran menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan kesiapsiagaan melaksanakan tugas sentiasa pada tahap terbaik, sekali gus menjamin kelancaran sistem pendidikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau pernah menyuarakan perkara itu dalam usaha memastikan warga pendidik terus sihat dari aspek mental dan fizikal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membabitkan pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pejabat kesihatan daerah.

“Ia wajar memandangkan warga pendidik hanya menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diambil bekerja sedangkan tempoh perkhidmatan mereka melangkaui lebih 30 tahun.

“Pemeriksaan ini boleh dilakukan antara tiga hingga empat tahun sekali dengan setiap pemeriksaan peringkat daerah membabitkan 30 warga pendidik.

“Langkah ini perlu bagi mengesan masalah kesihatan yang mungkin timbul seperti masalah mental, stres, diabetes, darah tinggi dan sebarang penyakit, sekali gus membolehkan usaha pencegahan atau rawatan dilakukan segera,” katanya selepas majlis bertemu jentera Pusat Daerah Mengundi Parlimen Padang Terap di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang guru sekolah di Kulim dekat sini, yang mengamuk ketika satu mesyuarat guru dan tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, guru wanita berkenaan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu, hari ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini, berkata tindakan guru wanita itu tidak melambangkan profesionalisme seorang guru.

Mengulas mengenai isu guru terbabit, Mahdzir berkata, beliau memberi tempoh selama lima hari kepada Jabatan Pendidikan Kedah untuk menyiapkan laporan lengkap mengenai insiden berkenaan.

Katanya, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

“Saya tidak mahu komen panjang tetapi kementerian ada peraturan yang menjadi amalan. Maka, saya berharap sebarang permasalahan berkait apa jua isu, perlu diselesaikan secara profesional.

“Insiden itu terpencil kerana kita ada 435,000 guru. Kes seperti guru itu sangat jarang kita dengar.

“Saya harap siasatan tidak mengambil masa selama sebulan. Takkanlah insiden seorang guru, (siasatan) makan masa sebulan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.