PRU-14: 35,000 Petugas SPR Di Selangor

SHAH ALAM: Seramai 35,000 petugas dilantik bagi menguruskan proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Selangor kelak.

Timbalan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri, berkata petugas terbabit terdiri daripada kakitangan awam serta swasta.

“Taklimat bagi petugas Pilihan Raya sudah selesai tahun lalu, bagaimanapun kami akan buat taklimat ulangan dalam masa terdekat bagi memastikan petugas SPR betul-betul mahir melaksanakan tugas.

“Taklimat bagi ejen parti dan petugas parti politik bermula dengan PAS, seterusnya DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah dibuat sebelum ini.

“Bagi Barisan Nasional (BN) pula, ia akan diadakan esok,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada petugas media Selangor di sini, hari ini.

Kamarul Azman berkata, seramai 79 pengamal media mewakili 30 agensi di Selangor menyertai taklimat yang diadakan hari ini.

“Taklimat selama empat jam itu disampaikan oleh Ketua Program (Pengurusan Strategik) Akademik Pilihan Raya, Khadijah Ishak kepada petugas media mengenai perjalanan PRU-14 yang bakal diadakan nanti,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.