UMNO Parti Yang Sentiasa Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat

KOTA BELUD – UMNO merupakan sebuah parti politik yang sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, konsep kepimpinan negara ketika membentuk kerajaan adalah untuk sentiasa membantu rakyat tanpa mengira agama, bangsa mahupun wilayah.

“Sebaiknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah diberi peluang menjadi parti pemerintah, kita terus bekerja untuk rakyat.

“Kita bukan seperti parti lain yang sekadar mahu bersaing dalam pilihan raya sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di sini hari ini.

Salleh, yang juga Bendahari UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, turut memuji usaha Biro Kebajikan UMNO yang sentiasa aktif turun padang untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat.

Katanya, usaha berterusan membantu rakyat merupakan prinsip perjuangan parti, yang diterjemahkan apabila membentuk kerajaan.

“Sebagai parti yang menjadi tunjang pemerintahan negara, saya gembira Biro Kebajikan UMNO yang dipimpin Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bergerak aktif sekali membantu rakyat bukan sahaja anggota UMNO, tetapi juga rakyat yang bukan anggota parti.

“Sambutan terhadap program ini juga amat baik sekali di Kota Belud dan ini menunjukkan kita (UMNO) di jalan yang benar dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata jelajah biro itu ke Sabah berjaya hasil kerjasama dan komitmen jitu di semua peringkat di negeri ini.

“Ini (kerjasama) merupakan terjemahan kepada prinsip UMNO yang sentiasa membantu rakyat dan turun padang di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata lebih 10,000 keluarga menerima bantuan daripada biro itu yang menjelajah Libaran, Batu Sapi, Semporna, Tenom, Beaufort dan berakhir di Kota Belud sejak 23 Jan lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.