Hujan Bukan Penghalang Himpunan Buat Palestin

PUTRAJAYA: Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 50,000 umat Islam untuk terus berhimpun bagi mendoakan kesejahteraan dan pembebasan Palestin daripada kezaliman Zionis.

Himpunan Munajat Aqsaku, yang diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini, malam ini dimulakan dengan solat Maghrib, yang diimamkan Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Khalid Mahmoud Ahmad Shrateh.

Ia diteruskan dengan tazkirah Maghrib oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri, diikuti zikir munajat.

Selain itu, turut diadakan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid tempatan, termasuk Hijjaz.

Himpunan berkenaan adalah acara kemuncak Festival MyAQSA anjuran Yayasan MyAQSA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bermula semalam hingga esok.

Acara lain yang menjadi pengisian festival berkenaan adalah Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis, yang dihadiri lebih 100 ulama dari kira-kira 30 negara dan Ekspo Aqsaku.

Program himpunan itu turut diisi dengan beberapa siri kuliah dan pidato daripada tokoh agama dari pelbagai negara seperti Syaikh Dr Muthanna adh-Dhari dari Iraq, Syaikh Dr Muhammad ad-Daduu (Mauritania) dan Dr Sayyid Salman al-Husaini an-Nadwi (India).

Turut berucap, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mewakili kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mewakili Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis himpunan itu, Jamil Khir berkata, perhimpunan itu diharap dapat membuahkan hasil dan memberi lonjakan kepada perjuangan intifada bagi umat Islam di Palestin seterusnya membebaskan kota itu daripada kezaliman Zionis.

“Malam ini kita mengetepikan perbezaan dalam kalangan kita. Tanpa mengira perbezaan pandangan politik, malam ini kita berhimpun dalam solidariti menyokong perjuangan membebaskan Palestin,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.